Pencapaian direalisasi dengan dedikasi, komitmen tinggi ABDB





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Na'il Haris Haji Muhd. Nikman





RIMBA, Ahad, 31 Mei. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, dari sudut keupayaan ketenteraan pula, baru-baru ini Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) telah menerima dua buah pesawat angkut C295MW terakhir yang melengkapkan penerimaan sebanyak empat buah pesawat angkut, bertepatan dengan menjelangnya Sambutan Jubli Intan Penubuhan TUDB pada bulan Jun tahun ini.


Seterusnya pada penghujung tahun ini titah baginda lagi, TUDB juga akan menerima 'batch' pertama helikopter H-145M yang akan menggantikan pesawat Bolkow BO105 yang telah dinyahtauliahkan.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah mengongsikan, pada awal tahun depan, Markas Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dijangka akan mentauliahkan sistem Command, Control, Communications, Computers, Intelligence, Surveillance, and Reconnaissance (C4 – ISR) yang ketika ini sedang giat dinaik taraf.


Pada Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-65 yang berlangsung di Padang Kawad, Pangkalan Tentera Udara Rimba, TUDB,di sini, baginda juga bertitah, segala pencapaian ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa adanya dedikasi dan komitmen tinggi di seluruh peringkat kepimpinan.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut bertitah menghargai dan berbangga di atas pencapaian-pencapaian positif ini.


"Dalam hubungan ini, beta juga sangat gembira atas kehadiran dan keterlibatan anggota veteran dan Persatuan Bekas Perajurit ABDB (PERWIRA) pada pagi ini yang setentunya menunjukkan semangat dan komitmen berterusan mendukung ABDB ke arah kecemerlangan.


"Akhirnya, beta mengucapkan syabas dan tahniah bersempena Hari Ulang Tahun ABDB yang Ke-65 kepada seluruh warga ABDB yang masih berkhidmat dan mereka yang telah bersara, sama ada berada di dalam atau sedang bertugas di luar negara.


"Tidak lupa juga, penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa Sambutan pada tahun ini dan semua yang terlibat dalam menjayakan perbarisan pagi ini. Beta turut mendoakan supaya ABDB akan sentiasa dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal 'Alamiin," titah baginda lagi.


Close